
Mungkin
anda tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan osteoartritis?
Mari kita leraikan perkataan yang panjang ini kepada dua perkataan yang mudah.
Pertamanya, perkataan osteon yang berasal daripada perkataan Yunani yang
bermaksud tulang. Kedua, perkataan artritis yang bermaksud radang sendi. Dalam
bahasa mudah, osteoartritis merupakan artritis yang berlaku akibat penggunaan
sendi yang menyebabkan lapisan selaput sendi (dikenali sebagai rawan) terhakis
akibat perubahan struktur di dalam sendi. Keadaan ini berlaku akibat geseran
berlebihan dua tulang seperti tulang femur (tulang peha) dan tibia (tulang
kering) yang disebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Pesakit osteoartritis akan
merasa lega apabila sendi terbabit direhatkan dan sakit apabila sendi itu
digunakan secara berlebihan. Keadaan yang sebaliknya berlaku bagi pesakit
‘Rheumatoid Arthritis’.
Tinjauan
‘Community Oriented Program for Control of Rheumatic Diseases’ (COPCORD) yang
dijalankan di Malaysia pada tahun 2007 mendapati kebanyakan pesakit
osteoartritis di Malaysia mengalami osteoartritis lutut, hasil yang sama
didapati pada kajian yang dijalankan di Hong Kong. Kajian itu turut mendapati
bahawa kebanyakan rakyat Malaysia berumur 55 tahun merasakan peningkatan
kadar kesakitan hingga 23% manakala kadar kesakitan meningkat sebanyak 39% bagi
mereka yang berusia lebih 65 tahun.
Setiap
orang mempunyai risiko mendapat osteoartritis tetapi menurut kajian yang dijalankan
di Pakistan, China, Korea dan Jepun, golongan wanita, orang berumur dan orang
obes mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat osteoartritis lutut.
Bagaimana pula dengan pendapat bahawa melutut dan mencangkung mampu menyababkan
osteoartritis lutut? Para pengkaji di Jepun mendapati bahawa mencangkung dan
melutut secara berlebihan terutamanya ketika berkebun mampu mengakibatkan
kecederaan kekal kepada lutut.
Maka
apakah langkah-langkah pencegahan untuk menghindari osteoartritis lutut? Cara
yang paling berkesan untuk mempunyai sepasang lutut yang sihat adalah dengan
mengawal berat badan. Ini memerlukan senaman secara konsisten. Berjalan-jalan
di pagi hari atau lebih elok lagi adalah dengan menghabiskan masa selama 30
minit di dalam kolam renang berhampiran anda merupakan senaman yang bagus.
Menguatkan otot-otot di sekeliling lutut adalah amat penting kerana sendi ini
adalah salah satu sendi yang menampung berat badan kita dan dapat mengelakkan
terlalu banyak bebanan terhadap lutut tersebut. Sekiranya anda obes dan tidak
pasti jenis senaman yang sesuai bagi anda, atau sering mengalami kesakitan di
lutut setiap kali bersenam, sila rujuk profesional perubatan secepat mungkin.
Osteoartritis merupakan penyakit degeneratif, sekiranya anda mendapatnya keadaan
hanya akan beransur sakit. Maka adalah penting untuk bertindak awal, jangan
biarkan osteoartritis menewaskan anda.
Encik
Jonathan Goh seorang ahli fisioterapi yang bekerja di Sarawak. Beliau sangat
mementingkan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu-isu seperti
osteoartritis. Artikel ini diterjemah oleh Dr Hidayatul Radziah Ismawi. Artikel
asal boleh didapati di sini.
Rujukan:
- http://www.copcord.org/Publications/Malaysia%20%20copcord.pdf
- http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/4703218
- Gibson T, Hameed K, Kadir M, Sultana S, Fatima Z, Syed A (1996) Knee pain amongst the poor and affluent in Pakistan. Br J Rheumatol 35, 146–9.
- Zeng QY, Zang CH, Li XF, Dong HY, Zhang AL, Lin L(2006) Associated risk factors of knee osteoarthritis: a population survey in Taiyuan, China. Chin Med J 119,1522–7
- Kim I, Kim HA, Se Y-I, Song YW, Jeong J-Y, Kim DH (2010) The prevalence of knee osteoarthritis in elderly community residents in Korea. J Korean Med Sci 25, 293–8.
- Muraki S, Oak H, Akune T, et al. (2009) Prevalence of radiographic knee osteoarthritis and its association with knee pain in the elderly of Japanese population-based cohorts: the ROAD Study. Osteoarthr Cartil 17, 1137–43
No comments:
Post a Comment